Monday 23 May 2011

How I work; Genogram

Sumber: Google Image
Duduk di meja kerja. Semak kerja, kemas kini kerja. Terjatuh sehelai kertas... contengan genogram salah seorang klien. Terimbas sesi bersamanya... Ya Allah, bantulah aku dengan memberikan kekuatan untuk fokus. Cabaran, menjadi seorang kaunselor... mudah tersasar dalam sesi. Perlu latihan, ditanam dalam hati. Mata kembali menatap genogram yang dilakar dan dibincangkan bersamanya. Detik hati, terima kasih Dr. Haniza Rais, (IIUM) kerana berkongsi ilmu ini. Melaluinya, secara efektif mendapat gambaran tentang latarbelakang klien tanpa menyinggung perasaan. Ingin berkongsi, budaya kita orang Asia memang tidak mudah untuk 'ekspresi' atau bercakap bebas. Mungkin sejak dari kecil disuruh diam, dan hanya jawab bila ditanya. Itu pun dimarahi apabila menjawab. Tersenyum dalam hati... diri sendiri pun pernah mengalami.
Balik kepada genogram, untuk pengetahuan pembaca, lebih kurang seperti gambarajah di atas (maaf, tak boleh saya uploadkan genogram klien saya..... tertakluk kepada akta kerahsiaan / etika kaunselor). By the way, some simple sharing untuk semua, why genogram ni sangat bagus untuk diamalkan dalam sesi awal kaunseling?
1. Secara visual, kita akan mendapat gambaran tentang keadaan keluarga klien kita. Berapa adik - beradik dia, mak dan ayah dia; masih hidup atau tidak, bercerai atau berkahwin, berapa ibu yang dia ada (jika dalam keluarga Islam), boleh scan the whole idea of klien punya family background. Bukan asas untuk menyibuk, tetapi bila tahu maklumat sebegini, InsyaAllah... dapat trace apa yang patut ditanya atau tengok reaksi klien apa yang dia suka atau tidak suka tentang keluarga dia.
2. Bila sebut tentang keluarga, melalui genogram, kita juga dalam explore emotional relationships dalam keluarga klien. Bolehlah dikenalpasti siapa yang paling dia sayang, siapa yang klien ada masalah untuk berkomunkasi, dsb.
3. Social relationships pun dapat dikenalpasti secara keseluruhan seperti siapa yang klien suka berkawan atau lebih percaya jika dia 'tidak' suka pada keluarganya, sebagai contoh.
Itu adalah asas kenapa pada saya genogram itu sgt praktikal. Di suasana tempat saya menjalankan kaunseling, genogram ini sangat membantu memecah kebuntuan untuk mengalakkan klien mula 'bercakap'. Dalam pengalaman peribadi saya sendiri, genogram ini berjaya membantu saya menemui titik lembut di dalam diri klien saya. Dan yang paling penting, klien saya berjaya berkongsi dan meluahkan masalah mereka. Namun, saya masih diperingkat 'budak baru belajar' dan saya akan terus berlatih untuk mendapatkan keserasian dan memaksimumkan mutu perkhidmatan saya, InsyaAllah.
Hebat kan ilmu Allah jika diamati. Apa yang dapat saya simpulkan, penggunaan simbol membantu klien berasa 'rahsia' nya selamat. Dan simbol ini diinterpretasikan oleh fikiran atau akal. Dan kebolehan akal adalah anugerah Sang Pencipta kepada manusia. Ya Allah, saya berterima kasih kepada Allah kerana anugerah akal dan Ya Allah Engkau rahmatilah guru - guru ku yang mengajar ku ilmu MU.... Amin. Terima kasih Dr. Haniza untuk ilmu genogram masa di UIA dulu.

Friday 20 May 2011

Saya hendak tahu... (1)

Soalan: APA ITU MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA DALAM KACAMATA MATA IBU BAPA ATAU ORANG DEWASA?

Siapa sudi, saya harap jawablah di dalam ruangan komen untuk kita kongsikan bersama. Terima Kasih

4 Aspek Kesihatan

Laparnya perut.... "Mama... kakak lapar, nak makan? Boleh tak?" tanya si anak. Sambung lagi, "Kakak nak makan salmon.....boleh tak?" Mama tersenyum, angguk. Anak gembira. Dalam sesak jalanraya di waktu petang, si anak tertidur menuju destinasi. "Kakak, bangun, kita solat maghrib dulu yer, lepas solat kita singgah makan salmon," kejut si ibu kepada anaknya. Anak bangun longlai kelaparan, rupa merengek kepenatan. Hati ibu tersentuh, tapi apakan daya, jam dah menunjukkan hampir jam 8.00 malam. Maghrib hampir ke penghujung. Singgah sebentar di RnR USJ untuk menunaikan ibadah wajib pada Sang Pencipta. Allah atau permintaan si anak, Allah wajib didahulukan. Pasti dalam hati, anak akan mengerti. Lucu, anak solat separuh hati, permintaannya masih tidak ditunaikan. Sabar yer anakku. Alhamdulilah, usai solat, pantas berdoa semoga Allah mengampuni setiap detik kelalaian dalam sedar atau alpa. Pastinya, ada yang kurang semoga Allah mencukupkan dalam iman dan menerima setiap ucapan taubat dan maaf atas dosa yang telah dilakukan. Ya Allah, jadikanlah anak - anakku S dan H anak yang mukmin dan solehah. Menjadi khalifah yang memakmurkan dunia Mu dan menegakkan ajaran Mu yang benar dan mempertahankan perjuangan Rasullulah. Amin. Pandang belakang, MasyaAllah, si anak tertidur semula di dalam telekung yang masih kemas di badan. "Sayang, bangun, jom makan salmon" pujuk si ibu. Semangat si anak dan tersenyum, hajatnya hampir tercapai. Semuanya atas daya dan upaya Allah. Terima kasih Allah kerana rezeki dan rahmat. Tidak perlu bersusah payah berjalan kaki ke destinasi. Ada kereta sebagai kenderaan untuk si anak menikmati salmon idaman. Hati bergetus, besarnya rahmat Allah bila di fikir dalam.
Sampai, si anak berlari ke sinki untuk membasuh muka yang mengantuk dan tangan sebelum makan. Menu di pegang kemas, mata membelik satu-persatu. Salmon dipesan, anak tersenyum. Fitrah manusia, bila dapat yang dihajati segalanya menjadi manis. Sambil menunggu, membelek majalah RAPI keluaran 15, MAC 2010 yang ada di rak bacaan restoran. Tahniah, ada sudut bacaan untuk dijadikan perkongsian. Anak pula sibuk membaca label - label sos yang pelbagai di atas meja. Terlupa, ibu apalah aku ini, kenapa tidak diisi masa berbual mesra dengan anak? majalah ditutup. Pertanyaan dimulakan. Anak menjawab, " Mama bacalah majalah tu, kakak nak baca sos ni....." hehehehehe, pucuk di cita ulam mendatang. Lampu hijau anak berikan tidak disia-siakan.
Bila membaca majalah itu, sesuatu yang ingin dikongsi.... menarik!!! Topik yang diutarakan: HIDUP SIHAT CARA NABI. ALhamdulilah, sedar atau tidak, ini rezeki Allah untuk menemukan dengan bahan bacaan yang ilmiah Islami walaupun dalam majalah RAPI. Syukur Ya Allah. Yang baik wajib dikongsi. Sedutan yang ingin dikongsi........
KESIHATAN BERSIFAT MENYELURUH MENGANDUNGI 4 ASPEK, ANTARANYA IALAH:
1. Kesihatan Fizikal wujud apabila seseorang tidak merasa dan mengeluh sakit atau tidak adanya keluhan dan memang secara objektifnya tidak nampak sakit. Semua organ tubuh berfungsi normal atau tidak mengalami gangguan.
2. Kesihatan mental mencakupi 3 komponen iaitu fikiran, emosi dan spiritual. Fikiran sihat boleh dicerminkan daripada cara berfikir atau buah fikiran seseorang. Emosi sihat boleh dicerminkan daripada kemampuan untuk mengekspresikan emosinya, misalnya takut, gembira, bimbang, sedih dan sebagainya. Spiritual sihat pula boleh dilihat daripada cara seseorang dalam mengekspresikan rasa syukur, pujian, kepercayaan dan sebagainya terhadap sesuatu di luar alam ini, iaitu Tuhan Yang Maha Kuasa. Misalnya, sihat spiritual boleh dilihat daripada amalan agama seseorang itu. Dengan kata lain, sihat spiritual wujud apabila seseorang itu mampu berhubungan dengan orang lain atau kaum lain secara baik, tanpa bezakan bangsa suku, agama, status sosial, ekonomi, politik, saling bertolak ansur, menghargai dan sebagainya
(RAPI, 15 MAC 2010, m/s 70)

Itulah sedikit sedutan yang ingin dikongsikan. Teringat kepada posting sebelum ini, 4 keperluan yang perlu ibubapa sediakan untuk pastikan anak menjadi cemerlang; Keperluan fizikal dan material, keperluan akal, keperluan emosi dan keperluan jiwa (spiritual). Ini bermakna, dari aspek kesihatan juga mengiktiraf empat dimensi ini untuk memastikan kita sah sihat. Hari ini ini mari kita mulakan menjaga aspek - aspek ini supaya kita menjadi insan yang sihat dan menjadi manusia yang cemerlang dan paling penting MUKMIN yang gemilang. InsyaAllah.

Thursday 19 May 2011

Ibu Bapa Yang Cemerlang - Mari kita semak!

Alhamdulilah, selesai tanggungjawab kepada Tuan Punya Alam setakat ini. Semoga ibadat ini diterima. Di sekolah minggu ini minggu peperiksaan. So, tak dapat buat sesi kaunseling ataupun aktiviti berkaitan. Sambil membaca, menambah pengetahuan.... ( Ehem, kepada guru dan kaunselor.... sebenarnya semua.... membaca menambah ilmu pengetahuan itu suatu ibadah.... According to Gerald Corey, 2001 dalam buku Theory and Practice of Counseling and Psychotheraphy; Preventing Burnout... there are list of suggestions.... i quote satu---> Take classes and workshops, attend conferences and READ to gain new perspectives on old issues.(page 40)) Well, therefore... diniatkan posting ni sebagai suatu perkongsian dan menambah baik kemahiran yang sedia ada. Bersembang dengan seorang sahabat di suatu pagi, berkongsi dengannya apa yang telah dibaca tentang ibu bapa cemerlang. Isinya diambil daripada buku yang menjadi salah satu favorite saya. Mukmin Professional. Belumlah diri dikatakan mukmin, tapi insyaAllah sedang berusaha, Amin. Ada empat keperluan yang perlu setiap ibu bapa penuhi untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang dan melahirkan modal insan yang mukmin.
Pertama; Ibu bapa perlulah memenuhi keperluan fizikal dan material anak - anak. Kenapa itu yang pertama? Cuba kita introspec ke dalam diri. Apakah perkara pertama yang dilakukan bila mengetahui isteri mengandung? Ya, check doktor, untuk apa? Pastikan ibu dan bayi sihat fizikal nya. Makan minum ibu dijaga rapi sehinggalah permata hati lahir. Dipastikan mendapat makan pakai yang cukup dan berkhasiat. Belum lagi dilihat dari sudut tempat tinggal dan pengangkutan. Pendek kata segala keperluan material diberikan untuk memastikan anak - anak dalam keadaan baik. Soalan.... cukupkan sekadar memenuhi segala bentuk keperluan asas material dan fizikal ini? Alhamdulilah, rata - rata, kenalan yang saya lihat mampu menyediakan keperluan yang pertama ini. Tahniah, sekurang - kurangnya tanggungjawab pertama tidak diabaikan.
Kedua: Memenuhi keperluan Akal dan Pemikiran. Haa.... pandai anak - anak mama, pandai nyanyi lagu ABC, 123... mulalah ibu bapa berusaha memikirkan keperluan pendidikan formal kepada anak - anak. Segala segi diambil kira. Cognitive, psychomotor, psychosocial, etc.... hampir semua parents yang bersemangat mengalahkan pakar kanak - kanak. Alhamdulilah.... suatu sudut saya bangga dengan inisiatif ibubapa sebegini dan berdoa semoga semangat ini diteruskan sehingga anak meningkat dewasa. (Peringatan kepada diriku sendiri.... Amin). Secara mudah, keperluan ini diklasifikasikan sebagai memberikan anak keperluan akademik dan menghantar ke sekolah. Sekali lagi, melalui pemerhati peribadi, semua ibubapa telah menjalankan tanggungjawab ini, MENGHANTAR ANAK KE SEKOLAH.
Ketiga: Memenuhi Keperluan Emosi. Ermmm.... ermmm.... ermmm.... keperluan fizikal dan material, ok dah, inilah bahagian yang agak selalu terlepas pandang, bukan tak pandang. Nampak hanya emosi yang dipaparkan seperti menangis dan ketawa. Emosi yang 'diam' seringkali ibubapa tidak dapat mengenalpasti. Ini yang banyak bermain dalam kerjaya sebagai seorang kaunselor. Anak - anak sering mengutarakan masalah kekurangan perhatian di dalam sudut ini. Saya berempati cuba menyelami. Memang perit dan sakit walaupun secara zahir semua telah hampir dipenuhi. "Hah! mengada - ngadalah.... saya lebih tahu, saya yang lahirkan dia!," bentak si ibu, mengingatkan saya kepada suatu siri pengalaman. Terbahagi antara pengalaman menjadi ibu dan pada masa yang sama melihat krisis dari sudut pandang si anak. Anak tunduk kecewa.... saya faham perasaannya. Dalam hati berdoa, Ya Allah, lembutkanlah hati si ibu supaya memahami, anak masih memerlukannya memandu emosi yang lebih sihat. Buat perkongsian, Jika anak sentiasa dalam emosi yang tertekan, ia akan menghasilkan insan yang degil dan keras hati. Mari tanya dalam diri, degilkah anak-anakku? Jika ya, selami emosinya, jika tidak teruslah berusaha memenuhi keperluan emosi nya. Anak masih membesar sehingga mereka pula bersedia menjadi ibu bapa.
Keempat: Memenuhi Keperluan Jiwa. Inilah punca kemuncak segala masalah sosial kini. Amat sedikit bilangan ibubapa yang menyedari hakikat ini. Keperluan jiwa anak - anak yang perlu diisikan dengan soal - soal keimanan. Anak - anak kita dimantapkan dengan ilmu akal dan dunia. Tetapi, kurang diambil penting pemantapan Ilmu mengenali Tuan Punya Alam ini. Kita tidak terbayar sewa kepada Si DIA yang memberikan kita rahmat tidak terhingga. Semuanya percuma. Timbal balas, taat kepadaNya. Inilah hakikat yang menjadikan anak - anak kita kusut kehidupan dan merasakan kehidupan adalah bebanan. Sedangkan, kehidupan ini sepatutnya menjadi gelanggang yang sakinah mencari redha Allah. Ini juga paling tinggi pemerhatian bila ditanya kepada anak - anak klien, "solat tak di rumah?,". Lemah mengeleng dan bangga menjawab tidak juga ada. Inilah misi terpenting buat kita ibu bapa menyediakan keperluan ini utamanya bersama - sama ketiga - tiga keperluan asas yang telah saya kongsikan tadi.
Jujur, anak - anak saya sendiri masih tumbuh kecil. Hati ibu berdoa, Ya Allah, bimbinglah aku mendidik anak - anakku melalui IlmuMu dan pengalaman yang Kau adakan untukku. Semoga kita semua sentiasa diberi hidayah dalam melahirkan anak - anak khalifah yang akan meneruskan perjuangan Rasullulah. Selawat ke atas kekasih Allah dan keluarga serta sahabat baginda.

Piramid Keperluan Asas Untuk IBUBAPA CEMERLANG


1.Necessity And Importance of Permissible (Halal) Food (Keperluan dan Kepentingan Makanan Daripada Sumber yang HALAL)

Sumber: Google

Alhamdulilah, pertamanya bersyukur kepada Allah diberikan masa dan peluang untuk membuat sedikit perkongsian dan catatan kepada pembaca. Semalam, terdetik selepas solat zohor... untuk berkongsi dengan semua tentang buku yang ditulis oleh Imam AL-Ghazali mengenai prinsip - prinsip membesarkan anak -anak. Pernah belajar tentang ini ketika di UIA dulu, lantas terus mengorek nota - nota lama yang masih tersimpan untuk rujukan. Alhamdulilah, jumpa dan terasa bersalah jika tidak disebarkan dan dikongsi dengan semua. Benda baik, perlulah disampaikan dengan niat yang baik semoga kita semua dapat belajar dan membaiki amalan kehidupan kita, InsyaAllah.
Sumber: Google
Prinsip yang pertama adalah keperluan dan kepentingan ibu bapa menyediakan makanan dan minuman daripada sumber yang halal. Cuba kita lihat buku - buku berkaitan dengan kehamilan dan panduan anak, tentunya salah satu topik yang akan dikupas ialah kepentingan menyediakan makanan yang berkhasiat untuk menjamin tumbesaran dan kesihatan anak - anak. Itu yang jelas daripada sudut saintifik, di mana anak - anak memerlukan nutrisi yang lengkap untuk membesar dengan kuat dan sihat. Ibu bapa juga sering menyediakan keperluan susu yang terbaik untuk anak - anak mereka. Di pasaran, susu formula berlumba - lumba menghasilkan produk yang hebat. Namun, dalam menyediakan segala kebaikan yang sememangnya dituntut, di dalam konteks Islam, kita sering terlepas pandang untuk mematuhi prinsip yang pertama supaya anak - anak kita membesar menjadi khalifah yang cemerlang dunia akhirat.
Ingin dikupas di sini adalah di dalam konteks semasa. Bapa; tugasnya adalah mencari rezeki kepada seisi keluarga. Rezeki yang dimaksudkan tentunya daripada sumber yang halal dan baik. Rezeki ini akan menjadi kelangsungan kepada institusi keluarga dan keperluan anak - anak yang sedang membesar. Ibu; tugasnya melahirkan zuriat dan di zaman kini juga bekerja untuk menampung ekonomi keluarga. Pastinya, si ibu juga wajib mencari rezeki yang halal dan baik untuk dimasukkan ke dalam badan dan menjadi susu untuk disuapkan kepada anak - anak. Jelas di sini, segala sumber yang menjadi makanan ibu dan bapa serta anak - anak wajib daripada sumber yang halal.
Menjadi persoalan, mengapa pentingnya kita menyediakan makanan yang halal kepada diri kita dan anak - anak?
1. KERANA IA ADALAH PERINTAH ALLAH; Allah telah berfirman; " Wahai sekalian manusia, makanlah segala yang ada di bumi ini, yang HALAL lagi yang baik - baik, dan janganlah kamu ikuti jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu" Surah Al-Baqarah, Ayat 168. Jelas di dalam ayat ini, Allah telah memerintahkan sekalian umatNya untuk memasukkan segala yang halal lagi baik menjadi darah daging di dalam jasad kita. Dan jika kita gagal melakukan perintah Allah, nescaya syaitanlah yang akan menjadi teman jasad kita yang dibina daripada sumber yang haram. Apatah lagi, jika kita menjadi ibubapa yang tidak sedar bahawa kita kononnya telah berikan nutrisi yang terbaik melalui sumber yang haram dan membentuk karektor anak yang bercerminkan sifat - sifat syaitan. Di dalam ayat yang lain, Allah telah berfirman; " Wahai orang - orang yang beriman, makanlah yang baik - baik (yang halal) dari rezeki yang Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu hanya beribadat kepadaNya" Surah Al-Baqarah, Ayat 172. Ayat ini menjelaskan tentang peribadi orang beriman adalah orang yang hanya makan benda - benda yang baik lagi halal. Tentunya kita semua mengimpikan seorang anak yang beriman, jadi mulakanlah dengan memastikan anak - anak kita besar tumbuh melalui rezeki yang halal lagi baik.
2. MENGELAKKAN DARIPADA AZAB API NERAKA; Memakan makanan yang halal dapat mengelakkan diri kita daripada azab api neraka. Jelas, jika kita melanggar perintah Allah seperti yang difirmankan di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 dan ayat 172 di atas, tentunya kita telah menderhaka dan akan menerima balasan Allah di akhirat kelak. Secara logik akal, apabila ibu bapa makan makanan daripada sumber haram, tentunya ibu bapa itu telah melanggar perintah Allah. Apabila ibu bapa memberi anak - anak mereka makan makanan daripada sumber haram, ini akan membentuk peribadi yang buruk kepada anak - anak mereka. Peribadi buruk ini pula akan bercambah menjadi pemangkin saham neraka kepada anak - anak di akhirat kelak. Adakah begini cara kita menunjukkan kasih sayang kita kepada anak yang asalnya tidak berdosa? Tanpa sedar, dengan tidak memastikan sumber rezeki, kita telah menyebabkan anak - anak kita terjerumus ke dalam masalah akhlak dan akhirat di azab di akhirat.
Maksud hadis; Daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya. (Riwayat Thabrani) dan sebuah lagi maksud hadis; Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram. (Riwayat Ahmad). Oleh yang demikian, jika benar kasih sayang kita tulus kepada anak - anak, pastikan setiap daging yang tumbuh di dalam badan mereka adalah yang halal lagi baik.
3. MAKANAN HALAL MEMASTIKAN DOA DIMAKBULKAN; Orang yang makan makanan yang halal, doanya makbul berbeza dengan orang yang makan makanan yang haram, terhijab doanya dengan Tuhan. Rasullulah pernah bersabda; "Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah engkau orang yang diperkenankan permintaan". (Riwayat Thabrani). Doa adalah senjata mukmin. Doa adalah bantuan hidup. Doa adalah pengharapan hamba terhadap Tuhannya. Apabila ibu bapa membesarkan anak - anak dengan sumber yang halal, tentunya membantu anak - anak membentuk peribadi yang mulia dan sering berdoa kepada Allah SWT. Asbab jasadnya dibina daripada sumber halal, hati nya bebas dari sumber haram, maka doa anak - anak ini akan lebih mustajab untuk mereka menjalani kehidupan. Asal gusar, Allah lah tempat anak - anak berdoa. Jauh berbeza dengan anak - anak yang buruk akhlaknya, lebih bergantung kepada duniawi dan jauh untuk berdoa. Asalnya, salah ibu bapa yang tidak memberikan sesuatu yang halal lagi baik sebagai bahan binaan jasad si anak. Apa yang tidak putus antara orang yang mati dan masih hidup? Salah satunya, doa anak yang soleh. Maka, untuk mendapat doa daripada anak yang soleh, marilah kita pastikan anak - anak kita di bina daripada sumber yang halal lagi baik.
4. DITERIMA AMALAN; Makanan daripada sumber yang halal adalah penyebab untuk diterima segala amalan kebaikan. Jika kita membesar daripada sumber yang haram, ini akan membuatkan amalan kita tidak diterima Allah. Sabda Rasullulah; " Demi (ALLAH) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan SESUAP makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari" (Riwayat Thabrani). Alangkah jelas, sesiapa yang melanggar perintah Allah adalah orang - orang yang sangat rugi. Adakah kita mahu menyebabkan anak - anak kita tergolong daripada orang - orang yang di dalam kerugian?
5. HATI BERSIH; Sabda Rasullulah: " Hati yang bersih ditempa daripada makanan yang bersih (HALAL)". Tentunya sebagai ibu bapa kita mahu melihat anak - anak kita mempunyai peribadi dan kekuatan hati mukmin yang sejati. Oleh yang demikian, setiap rezeki yang disuapkan daripada sumber yang halal menjamin kebersihan dan kesucian hati anak - anak kita. Jika kita alpa, bermakna, kitalah yang telah merosakkan anak - anak kita daripada fitrah menjadi manusia yang mempunyai jiwa yang rapuh dan hati yang keras.

Melalui jawapan - jawapan di atas, diharapkan diri ini mendapat kesedaran betapa pentingnya memastikan setiap rezeki yang diraih adalah halal untuk menjamin kesejahteraan anak - anak yang akan menyambung perjuangan Rasullulah dalam menegakkan Agama Allah. Bersyukur kepada Allah kerana memberikan 'punca' kesedaran apabila melihat kepincangan sosial di zaman kini. Bersyukur kepada Allah kerana memberikan manual Agung Al-Quran sebagai pedoman. Bersyukur kepada Allah kerana kekasihNya, Rasullullah terlalu banyak meninggalkan pesanan. Bersyukur kepada Allah kerana merezekikan fungsi akal untuk terus berfikir dan Ya Allah, rezekikan ku untuk terus berkongsi untuk memperbaiki kehidupan ku dan kehidupan kami. Amin.

Pasti, penulisan ini baru hanya secebis untuk direnungkan. Dalam fikiran berasak - asak ingin mengeluarkan banyak fakta dan pendapat. Secara ringkas, memang benar... prinsip pertama dalam membesarkan anak - anak adalah pasti mereka membesar dengan sumber yang halal dan darah daging di bina daripada sumber yang halal supaya hati mukmin terbentuk baik demi ummah yang lebih harmonis. InsyaAllah, semoga Allah membantu dalam usaha ke arah kebaikan.

Wednesday 18 May 2011

Cerita Sarapan

Sumber; Google image

Dimulakan dengan kekuatan Bismillah, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Alhamdulilah, segala puji hanya bagi Allah atas rezeki dan rahmat yang dikurniakan olehnya. Kini, perut terasa kenyang. Lidah masih dapat mengenalpasti setiap daerah rasa dan perisa. Makanan yang dinikmati masih terasa keenakkannya. Minuman yang dihirup masih terasa kelazatannya. Jari - jemari masih mampu memegang cawan kertas berisi teh tarik yang sememangnya disaji lemak dan berkrim. Mata masih dapat menikmati keindahan makanan dan minuman. Melalui nikmat mata, dapat diamati apa yang sedang dijamah sebagai sarapan pagi.
Teringat pula suatu ketika sebelum menikmati sarapan tadi. Kaki masih kuat berdiri menampung badan menunggu pesanan disediakan. Telinga masih jelas mendengar pertanyaan yang diajukan untuk mendapatkan kepastian tentang pesanan. Hidung sibuk menikmati aroma keju yang menerjah, menghantar isyarat pantas membuka selera.
Kulit terasa nyaman hawa dingin yang selesa. Siap! telinga mendengar, lantas tangan mencapai dompet untuk membayar. MasyaAllah, rezeki Allah. Tanpa sedar, duit yang digunakan untuk membayar pesanan adalah juga rezeki daripada Allah. Ini bermakna, cerita ini adalah tentang rahmat dan kasih sayang Allah. Kemudian, senyuman dibalas senyuman, menyenangkan hati. Sekali lagi rahmat Allah kerana mata masih jelas melihat sedekah seorang insan kepada seorang insan.
Kemudian berjalan, menggunakan lagi mata mencari tempat yang sesuai. Itu dia, hati berbisik, akal berbicara. Lantas duduk dan menggunakan tangan membuka bungkusan. Makanan yang lazat itu lantas ingin disuap. Astagfirullah.... hampir terlupa mengucapkan syukur padaMU Ya Rabb. Baca doa untuk makan? atau baca doa kerana berterima kasih kepadaNya? Dalam hati terdetik, " Ya Allah! selama ini jahilnya aku, menikmati rahmatMU tanpa segan silu!" Semoga sarapan aku pada hari ini membentuk peribadi Islam yang sejati buat diriku yang jahil ini. "Ya Allah, aku bertaubat kepadaMU atas kelalaian ku meneliti rahmatMU selama ini. Semoga Kesedaran ini menghilangkan kedukaan yang sedang aku alami...." Bismillahirrahmannirrahim....
Sumber: zainizainal.blogspot.com

Amin.... Selamat Menjamu Selera. Semoga jasad kita sihat dengan rezeki yang halal untuk kita memakmurkan kehidupan ini.