Friday 20 May 2011

4 Aspek Kesihatan

Laparnya perut.... "Mama... kakak lapar, nak makan? Boleh tak?" tanya si anak. Sambung lagi, "Kakak nak makan salmon.....boleh tak?" Mama tersenyum, angguk. Anak gembira. Dalam sesak jalanraya di waktu petang, si anak tertidur menuju destinasi. "Kakak, bangun, kita solat maghrib dulu yer, lepas solat kita singgah makan salmon," kejut si ibu kepada anaknya. Anak bangun longlai kelaparan, rupa merengek kepenatan. Hati ibu tersentuh, tapi apakan daya, jam dah menunjukkan hampir jam 8.00 malam. Maghrib hampir ke penghujung. Singgah sebentar di RnR USJ untuk menunaikan ibadah wajib pada Sang Pencipta. Allah atau permintaan si anak, Allah wajib didahulukan. Pasti dalam hati, anak akan mengerti. Lucu, anak solat separuh hati, permintaannya masih tidak ditunaikan. Sabar yer anakku. Alhamdulilah, usai solat, pantas berdoa semoga Allah mengampuni setiap detik kelalaian dalam sedar atau alpa. Pastinya, ada yang kurang semoga Allah mencukupkan dalam iman dan menerima setiap ucapan taubat dan maaf atas dosa yang telah dilakukan. Ya Allah, jadikanlah anak - anakku S dan H anak yang mukmin dan solehah. Menjadi khalifah yang memakmurkan dunia Mu dan menegakkan ajaran Mu yang benar dan mempertahankan perjuangan Rasullulah. Amin. Pandang belakang, MasyaAllah, si anak tertidur semula di dalam telekung yang masih kemas di badan. "Sayang, bangun, jom makan salmon" pujuk si ibu. Semangat si anak dan tersenyum, hajatnya hampir tercapai. Semuanya atas daya dan upaya Allah. Terima kasih Allah kerana rezeki dan rahmat. Tidak perlu bersusah payah berjalan kaki ke destinasi. Ada kereta sebagai kenderaan untuk si anak menikmati salmon idaman. Hati bergetus, besarnya rahmat Allah bila di fikir dalam.
Sampai, si anak berlari ke sinki untuk membasuh muka yang mengantuk dan tangan sebelum makan. Menu di pegang kemas, mata membelik satu-persatu. Salmon dipesan, anak tersenyum. Fitrah manusia, bila dapat yang dihajati segalanya menjadi manis. Sambil menunggu, membelek majalah RAPI keluaran 15, MAC 2010 yang ada di rak bacaan restoran. Tahniah, ada sudut bacaan untuk dijadikan perkongsian. Anak pula sibuk membaca label - label sos yang pelbagai di atas meja. Terlupa, ibu apalah aku ini, kenapa tidak diisi masa berbual mesra dengan anak? majalah ditutup. Pertanyaan dimulakan. Anak menjawab, " Mama bacalah majalah tu, kakak nak baca sos ni....." hehehehehe, pucuk di cita ulam mendatang. Lampu hijau anak berikan tidak disia-siakan.
Bila membaca majalah itu, sesuatu yang ingin dikongsi.... menarik!!! Topik yang diutarakan: HIDUP SIHAT CARA NABI. ALhamdulilah, sedar atau tidak, ini rezeki Allah untuk menemukan dengan bahan bacaan yang ilmiah Islami walaupun dalam majalah RAPI. Syukur Ya Allah. Yang baik wajib dikongsi. Sedutan yang ingin dikongsi........
KESIHATAN BERSIFAT MENYELURUH MENGANDUNGI 4 ASPEK, ANTARANYA IALAH:
1. Kesihatan Fizikal wujud apabila seseorang tidak merasa dan mengeluh sakit atau tidak adanya keluhan dan memang secara objektifnya tidak nampak sakit. Semua organ tubuh berfungsi normal atau tidak mengalami gangguan.
2. Kesihatan mental mencakupi 3 komponen iaitu fikiran, emosi dan spiritual. Fikiran sihat boleh dicerminkan daripada cara berfikir atau buah fikiran seseorang. Emosi sihat boleh dicerminkan daripada kemampuan untuk mengekspresikan emosinya, misalnya takut, gembira, bimbang, sedih dan sebagainya. Spiritual sihat pula boleh dilihat daripada cara seseorang dalam mengekspresikan rasa syukur, pujian, kepercayaan dan sebagainya terhadap sesuatu di luar alam ini, iaitu Tuhan Yang Maha Kuasa. Misalnya, sihat spiritual boleh dilihat daripada amalan agama seseorang itu. Dengan kata lain, sihat spiritual wujud apabila seseorang itu mampu berhubungan dengan orang lain atau kaum lain secara baik, tanpa bezakan bangsa suku, agama, status sosial, ekonomi, politik, saling bertolak ansur, menghargai dan sebagainya
(RAPI, 15 MAC 2010, m/s 70)

Itulah sedikit sedutan yang ingin dikongsikan. Teringat kepada posting sebelum ini, 4 keperluan yang perlu ibubapa sediakan untuk pastikan anak menjadi cemerlang; Keperluan fizikal dan material, keperluan akal, keperluan emosi dan keperluan jiwa (spiritual). Ini bermakna, dari aspek kesihatan juga mengiktiraf empat dimensi ini untuk memastikan kita sah sihat. Hari ini ini mari kita mulakan menjaga aspek - aspek ini supaya kita menjadi insan yang sihat dan menjadi manusia yang cemerlang dan paling penting MUKMIN yang gemilang. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment