Thursday 19 May 2011

1.Necessity And Importance of Permissible (Halal) Food (Keperluan dan Kepentingan Makanan Daripada Sumber yang HALAL)

Sumber: Google

Alhamdulilah, pertamanya bersyukur kepada Allah diberikan masa dan peluang untuk membuat sedikit perkongsian dan catatan kepada pembaca. Semalam, terdetik selepas solat zohor... untuk berkongsi dengan semua tentang buku yang ditulis oleh Imam AL-Ghazali mengenai prinsip - prinsip membesarkan anak -anak. Pernah belajar tentang ini ketika di UIA dulu, lantas terus mengorek nota - nota lama yang masih tersimpan untuk rujukan. Alhamdulilah, jumpa dan terasa bersalah jika tidak disebarkan dan dikongsi dengan semua. Benda baik, perlulah disampaikan dengan niat yang baik semoga kita semua dapat belajar dan membaiki amalan kehidupan kita, InsyaAllah.
Sumber: Google
Prinsip yang pertama adalah keperluan dan kepentingan ibu bapa menyediakan makanan dan minuman daripada sumber yang halal. Cuba kita lihat buku - buku berkaitan dengan kehamilan dan panduan anak, tentunya salah satu topik yang akan dikupas ialah kepentingan menyediakan makanan yang berkhasiat untuk menjamin tumbesaran dan kesihatan anak - anak. Itu yang jelas daripada sudut saintifik, di mana anak - anak memerlukan nutrisi yang lengkap untuk membesar dengan kuat dan sihat. Ibu bapa juga sering menyediakan keperluan susu yang terbaik untuk anak - anak mereka. Di pasaran, susu formula berlumba - lumba menghasilkan produk yang hebat. Namun, dalam menyediakan segala kebaikan yang sememangnya dituntut, di dalam konteks Islam, kita sering terlepas pandang untuk mematuhi prinsip yang pertama supaya anak - anak kita membesar menjadi khalifah yang cemerlang dunia akhirat.
Ingin dikupas di sini adalah di dalam konteks semasa. Bapa; tugasnya adalah mencari rezeki kepada seisi keluarga. Rezeki yang dimaksudkan tentunya daripada sumber yang halal dan baik. Rezeki ini akan menjadi kelangsungan kepada institusi keluarga dan keperluan anak - anak yang sedang membesar. Ibu; tugasnya melahirkan zuriat dan di zaman kini juga bekerja untuk menampung ekonomi keluarga. Pastinya, si ibu juga wajib mencari rezeki yang halal dan baik untuk dimasukkan ke dalam badan dan menjadi susu untuk disuapkan kepada anak - anak. Jelas di sini, segala sumber yang menjadi makanan ibu dan bapa serta anak - anak wajib daripada sumber yang halal.
Menjadi persoalan, mengapa pentingnya kita menyediakan makanan yang halal kepada diri kita dan anak - anak?
1. KERANA IA ADALAH PERINTAH ALLAH; Allah telah berfirman; " Wahai sekalian manusia, makanlah segala yang ada di bumi ini, yang HALAL lagi yang baik - baik, dan janganlah kamu ikuti jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu" Surah Al-Baqarah, Ayat 168. Jelas di dalam ayat ini, Allah telah memerintahkan sekalian umatNya untuk memasukkan segala yang halal lagi baik menjadi darah daging di dalam jasad kita. Dan jika kita gagal melakukan perintah Allah, nescaya syaitanlah yang akan menjadi teman jasad kita yang dibina daripada sumber yang haram. Apatah lagi, jika kita menjadi ibubapa yang tidak sedar bahawa kita kononnya telah berikan nutrisi yang terbaik melalui sumber yang haram dan membentuk karektor anak yang bercerminkan sifat - sifat syaitan. Di dalam ayat yang lain, Allah telah berfirman; " Wahai orang - orang yang beriman, makanlah yang baik - baik (yang halal) dari rezeki yang Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu hanya beribadat kepadaNya" Surah Al-Baqarah, Ayat 172. Ayat ini menjelaskan tentang peribadi orang beriman adalah orang yang hanya makan benda - benda yang baik lagi halal. Tentunya kita semua mengimpikan seorang anak yang beriman, jadi mulakanlah dengan memastikan anak - anak kita besar tumbuh melalui rezeki yang halal lagi baik.
2. MENGELAKKAN DARIPADA AZAB API NERAKA; Memakan makanan yang halal dapat mengelakkan diri kita daripada azab api neraka. Jelas, jika kita melanggar perintah Allah seperti yang difirmankan di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 dan ayat 172 di atas, tentunya kita telah menderhaka dan akan menerima balasan Allah di akhirat kelak. Secara logik akal, apabila ibu bapa makan makanan daripada sumber haram, tentunya ibu bapa itu telah melanggar perintah Allah. Apabila ibu bapa memberi anak - anak mereka makan makanan daripada sumber haram, ini akan membentuk peribadi yang buruk kepada anak - anak mereka. Peribadi buruk ini pula akan bercambah menjadi pemangkin saham neraka kepada anak - anak di akhirat kelak. Adakah begini cara kita menunjukkan kasih sayang kita kepada anak yang asalnya tidak berdosa? Tanpa sedar, dengan tidak memastikan sumber rezeki, kita telah menyebabkan anak - anak kita terjerumus ke dalam masalah akhlak dan akhirat di azab di akhirat.
Maksud hadis; Daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya. (Riwayat Thabrani) dan sebuah lagi maksud hadis; Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram. (Riwayat Ahmad). Oleh yang demikian, jika benar kasih sayang kita tulus kepada anak - anak, pastikan setiap daging yang tumbuh di dalam badan mereka adalah yang halal lagi baik.
3. MAKANAN HALAL MEMASTIKAN DOA DIMAKBULKAN; Orang yang makan makanan yang halal, doanya makbul berbeza dengan orang yang makan makanan yang haram, terhijab doanya dengan Tuhan. Rasullulah pernah bersabda; "Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah engkau orang yang diperkenankan permintaan". (Riwayat Thabrani). Doa adalah senjata mukmin. Doa adalah bantuan hidup. Doa adalah pengharapan hamba terhadap Tuhannya. Apabila ibu bapa membesarkan anak - anak dengan sumber yang halal, tentunya membantu anak - anak membentuk peribadi yang mulia dan sering berdoa kepada Allah SWT. Asbab jasadnya dibina daripada sumber halal, hati nya bebas dari sumber haram, maka doa anak - anak ini akan lebih mustajab untuk mereka menjalani kehidupan. Asal gusar, Allah lah tempat anak - anak berdoa. Jauh berbeza dengan anak - anak yang buruk akhlaknya, lebih bergantung kepada duniawi dan jauh untuk berdoa. Asalnya, salah ibu bapa yang tidak memberikan sesuatu yang halal lagi baik sebagai bahan binaan jasad si anak. Apa yang tidak putus antara orang yang mati dan masih hidup? Salah satunya, doa anak yang soleh. Maka, untuk mendapat doa daripada anak yang soleh, marilah kita pastikan anak - anak kita di bina daripada sumber yang halal lagi baik.
4. DITERIMA AMALAN; Makanan daripada sumber yang halal adalah penyebab untuk diterima segala amalan kebaikan. Jika kita membesar daripada sumber yang haram, ini akan membuatkan amalan kita tidak diterima Allah. Sabda Rasullulah; " Demi (ALLAH) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan SESUAP makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari" (Riwayat Thabrani). Alangkah jelas, sesiapa yang melanggar perintah Allah adalah orang - orang yang sangat rugi. Adakah kita mahu menyebabkan anak - anak kita tergolong daripada orang - orang yang di dalam kerugian?
5. HATI BERSIH; Sabda Rasullulah: " Hati yang bersih ditempa daripada makanan yang bersih (HALAL)". Tentunya sebagai ibu bapa kita mahu melihat anak - anak kita mempunyai peribadi dan kekuatan hati mukmin yang sejati. Oleh yang demikian, setiap rezeki yang disuapkan daripada sumber yang halal menjamin kebersihan dan kesucian hati anak - anak kita. Jika kita alpa, bermakna, kitalah yang telah merosakkan anak - anak kita daripada fitrah menjadi manusia yang mempunyai jiwa yang rapuh dan hati yang keras.

Melalui jawapan - jawapan di atas, diharapkan diri ini mendapat kesedaran betapa pentingnya memastikan setiap rezeki yang diraih adalah halal untuk menjamin kesejahteraan anak - anak yang akan menyambung perjuangan Rasullulah dalam menegakkan Agama Allah. Bersyukur kepada Allah kerana memberikan 'punca' kesedaran apabila melihat kepincangan sosial di zaman kini. Bersyukur kepada Allah kerana memberikan manual Agung Al-Quran sebagai pedoman. Bersyukur kepada Allah kerana kekasihNya, Rasullullah terlalu banyak meninggalkan pesanan. Bersyukur kepada Allah kerana merezekikan fungsi akal untuk terus berfikir dan Ya Allah, rezekikan ku untuk terus berkongsi untuk memperbaiki kehidupan ku dan kehidupan kami. Amin.

Pasti, penulisan ini baru hanya secebis untuk direnungkan. Dalam fikiran berasak - asak ingin mengeluarkan banyak fakta dan pendapat. Secara ringkas, memang benar... prinsip pertama dalam membesarkan anak - anak adalah pasti mereka membesar dengan sumber yang halal dan darah daging di bina daripada sumber yang halal supaya hati mukmin terbentuk baik demi ummah yang lebih harmonis. InsyaAllah, semoga Allah membantu dalam usaha ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment